Terdapat begitu banyak sebab mengapa anda perlu memiliki dokumen wasiat, namun terdapat tiga sebab utama yang seharusnya diberi perhatian berat khususnya bagi seseorang Muslim Mukmin.
1. MEMPERCEPAT PROSES PENYELESAIAN PUSAKA
Apabila berlaku kematian, sebahagian besar harta-harta simati akan dibekukan. Dengan memiliki dokumen wasiat, proses untuk mendapatkan Geran Probet (surat kuasa untuk mentadbir pusaka) oleh wasi yang telah dinamakan di dalam wasiat lebih mudah dan cepat. Lebih lengkap dokumen wasiat (seperti penyenaraian harta, hutang, harta sepencarian dsbnya) maka lebih cepat proses pentadbiran harta pusaka dapat diselesaikan.
Secara umumnya, tempoh penyelesaian pusaka dengan adanya wasiat ialah di antara 4 – 12 bulan berbanding di antara 2 – 5 tahun (atau lebih) tanpa dokumen wasiat. Lebih lama proses penyelesaian, maka selama itulah juga kesengsaraan yang akan dirasai oleh waris-waris yang kita tinggalkan.
2. MELUNASKAN HUTANG DAN TANGGUNGAN
Pada zaman ini, boleh dikatakan sebahagian besar daripada kita berhutang, ada yang banyak, ada yang sedikit. Berhutang atau meminjam untuk keperluan adalah dibenarkan dalam Islam, namun Islam turut menekankan dengan tegas mengenai tanggungjawab untuk membayar hutang, walaupun selepas kematian.
Antara peringatan yang disabdakan oleh Rasulullah saw:
Sesungguhnya orang yang berhutang terpenjara di kuburnya sehingga hutang tersebut diselesaikan (oleh saudara-maranya).- Hadis riwayat At-Tabrani
Malah tidak terkecuali bagi mereka yang mati syahid sepertimana sabda Rasulullah s.a.w.:
Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang.- Hadis riwayat Muslim
Oleh itu, salah satu daripada keperluan dokumen wasiat ialah untuk anda menyenaraikan dengan lengkap segala jenis harta dan tanggungan hutang anda supaya dapat diuruskan dengan licin dan sempurna oleh waris-waris anda. Ini bermakna dokumen wasiat merupakan satu dokumen yang teramat penting untuk anda miliki kerana dokumen wasiat inilah yang akan menjadi sumber rujukan utama mengenai harta dan tanggungan anda selepas ketiadaan anda kelak.
3. MENYEMPURNAKAN HAK DAN HASRAT
- untuk yang tersayang (yang masih hidup selepas kematian anda)
- untuk diri anda (yang pasti akan mati!)
a) Menyempurnakan HAK (waris yang ditinggalkan)
Menurut Islam, selepas kematian seseorang Muslim, maka wujudlah hak-hak tertentu ke atas harta yang ditinggalkannya. Hak-hak tersebut telahpun ditentukan sendiri oleh ALLAH secara khusus di bawah hukum faraid. Pembahagian faraid kepada yang berhak hukumnya adalah WAJIB untuk ditunaikan, dan FARDHU KIFAYAH kepada umat Islam (khususnya waris-waris) untuk menyelesaikannya.
b) Menyempurnakan HASRAT (pahala berkekalan)
Di samping hak-hak yang memang telah termaktub dalam hukum, kita juga boleh menyempurnakan hasrat dan niat murni kita yang lain khususnya untuk TUJUAN KEBAJIKAN. Melalui wasiat, hasrat untuk membantu atau membela mereka yang tidak mendapat bahagian faraid dapat ditunaikan seperti waris terdinding, cucu yang kematian ayah, anak angkat, ibu bapa angkat, ahli keluarga asal muallaf yang masih tidak beragama Islam dan sebagainya (terhad 1/3 daripada pusaka bersih).
Begitu juga niat untuk menginfaqkan harta melalui amalan sedekah jariah dan berwaqaf untuk manfaat ummah dan ganjaran pahala yang berkekalan sebagaimana sabda Rasulullah saw:Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya.- Hadis riwayat Muslim